Thursday, January 21, 2021

SERAM MALAM JUMAAT: DIGANGGU SEWAKTU TIDUR DI HOSTEL

Salam Malam Jumaat guys! Baiklah seperti yang tertera pada tajuk entri di atas, edisi khas seram malam jumaat ni, aku nak share sebuah pengalaman yang berlaku pada diri aku baru-baru ni. Peristiwa misteri dan menakutkan ini berlaku di sebuah hostel yang disediakan oleh pihak syarikat (Company apa tu aku tak nak reveal la kat sini dan lokasi kejadian di salah sebuah rumah di kawasan Gelang Patah ni). Lebih tepatnya di mana tu korang pandai-pandai tekalah ya. 

Aku ni baru diterima bekerja di salah sebuah syarikat di kawasan Iskandar Puteri ni dan disebabkan aku tak sempat nak cari bilik sewa, maka aku pun gunakanlah hostel yang disediakan oleh pihak syarikat (Bukan free okey!). Aku boleh gambarkan kat korang yang hostel ni terdiri daripada beberapa buah blok apartment 3 tingkat. Dalam satu rumah ada 4 buah bilik, lepas tu ada la dapur dan barang-barang basic seperti peti sejuk, dapur gas dan lain-lain. 

Awal-awal tu semuanya terlihat normal, tak ada apa-apa yang menyeramkan pun. Hostel semua dalam keadaan baik, cuma aku perasan kawasan blok yang aku diami tu macam banyak unit yang tidak berpenghuni. Kalau time malam tu memang sunyi, dengan pemandangan belukar hutan yang dapat dilihat dari jendela di ruang tamu rumah menjadikan suasana lebih tenang dan angin bertiup lembut sambil menghirup secawan kopi o panas, memang syahdu! Aku memang sukakan keadaan yang macam ni. rasa tenang je dengan kehijauan hutan dan kadang kala boleh terdengar bunyi serangga memecah kesunyian malam. 

Malam pertama semuanya normal, aku tak pernah terfikir pun apa-apa yang seram tentang hostel ni. Perkara menakutkan ini berlaku pada malam kedua kalau tak silap aku. Masa tu aku dah terlelap awal, dalam jam 11 macam tu aku dah tidur dah. Kawan sebilik aku pada waktu tu, Haziq (Bukan nama sebenar) masih terjaga dan aku pun tak tahu jam berapa baru dia tidur. Aku terjaga pada waktu sekitar 2-3 pagi apabila aku terdengar bunyi seperti ada orang yang berdengus. Aku ingatkan si Haziq ni berdengkur atau mengigau so aku pun mula-mula tu buat-buat tak layan dan sambung tidur. Tak lama lepas tu aku dengar lagi bunyi yang sama. Masa tu aku memang mengantuk sangat-sangat dan perlahan-lahan aku buka mata yang masih lagi kelat. Dalam kesamaran, aku melihat seperti ada susuk tubuh seorang wanita berpakaian serba putih sedang mencangkung di sisi Haziq yang sedang lena tidur. 

Wajahnya tidak dapat aku gambarkan sepenuhnya kerana rambutnya yang panjang dan kusut menutupi hampir keseluruhan mukanya. Dengan baju seakan gaun labuh yang mempunyai tompok-tompok seakan kesan tanah sedang menunduk sambil mencangkung di sebelah Haziq yang sedar tidur lena. Tubuh aku seakan hilang daya untuk bergerak! Aku mengigil! Satu badan rasa sejuk! Perasaan takut yang sukar untuk aku gambarkan ketika itu. Aku dapat rasakan adrenalin dalam badan aku melonjak naik pada tika dan saat itu. 

Aku cuba sedaya upaya untuk tidak melihat wajah makhluk berkenaan. Tak pasal-pasal aku boleh pengsan pula nanti. Dengan segala kudrat yang berbaki aku cuba berpaling tubuh ke arah lain supaya aku tidak lagi melihat wanita misteri yang menakutkan itu. Bahagian yang paling menakutkan akhirnya berlaku....

Aku cuba untuk memejamkan mata sambil berpura-pura seperti aku tidak melihat kehadiran wanita tersebut. Namun, badan aku menggigil ketakutan dan sukar untuk aku kawal rasa takut pada waktu itu. Aku berkata pada diri aku sendiri, walau apa pun nak jadi pada malam tersebut, aku tak akan buka mata aku. Setelah berpaling ke arah lain dengan mata yang terpejam, aku dapat merasakan bahawa kini wanita tersebut berada betul-betul di sisi aku. Bunyi dengusan nafas yang aku dengar sebentar tadi kini kian hampir dengan diri aku. Aku dapat rasakan yang wanita berkenaan sedang menanti aku untuk membuka mata dan menunjukkan bahawa aku telah melihat dia. Aku hanya mampu membaca surah-surah apa yang aku ingat dalam hati. Walaupun peristiwa ini berlaku hanya untuk beberapa minit, tapi ini merupakan tempoh yang paling panjang dan menakutkan dalam hidup aku setakat ni. Akhirnya, aku tertidur sehinggalah aku terjaga pada waktu pagi dan terus teringat apa yang berlaku pada malam tersebut. 

Aku cuba untuk tidak bercerita tentang perkara menakutkan tersebut kepada Haziq mahupun kawan-kawan yang lain sewaktu kami sudah berada di pejabat. Tiba-tiba aku terdengar salah seorang daripada rakan sekerja aku, Fifi bercerita berkenaan blok yang kami diami dikatakan berhantu. Zass!! berputar kembali kronologi peristiwa yang berlaku pada malam tersebut. Perbualan Fifi dengan seorang lagi teman sekerja menarik perhatian aku untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kesahihan cerita tersebut. Menurut Fifi, kakak iparnya pernah tinggal di blok berkenaan yang dikatakan sememangnya berhantu dan kebanyakan pekerja yang dah tahu 'kisah' di sebalik blok berkenaan akan meminta untuk ditukarkan ke blok lain. 

Setelah mendengar penjelasan tersebut, aku bagaikan ditampar oleh realiti kerana sebelum aku mengetahui tentang sejarah blok tersebut, aku sendiri telah 'diganggu' dengan kehadiran atau penampakan wanita berjubah putih yang hadir dalam keadaan mencangkung pada malam tersebut. 

Sehingga ke hari ini, aku masih menetap di blok yang dimaksudkan. Dan ketika kisah ini dimuatnaik di laman blog ini, aku masih berada di unit blok yang sama. Aku bersyukur kerana cuma sekali itu sahajalah aku diganggu setakat ini. Aku anggap apa yang aku lalui ini sebagai tanda 'salam perkenalan' daripada makhluk yang mungkin sudah menetap lama di sini. Aku bukanlah jenis orang yang mudah melihat benda-benda mistik atau makhluk ghaib. Jadi, bila terlihat 'benda' ni ternyata sukar untuk mengawal perasaan takut tersebut. Mungkin ada betulnya orang tua-tua kata kalau nak masuk rumah baru ni ada baiknya buat kenduri doa selamat dan amalan memagar rumah yang masih diamalkan oleh sesetengah pihak sehingga ke hari ini.

Percayalah, kerana 'mereka' ada di mana-mana dan anda mungkin sedang menemani dan memerhati pada saat anda membaca posting ini...



Labels: , , , , , , ,

Tuesday, January 19, 2021

KERJAYA SEBAGAI CUSTOMER SERVICE EXECUTIVE DI STARTEK

 Hi Guys! Dalam tak sedar kita dah pun melangkah ke tahun 2021. Pelbagai dugaan dan cabaran telah kita lalui sepanjang tahun 2020 di mana kita semua harus menjalani kehidupan dalam norma baharu bagi mencegah penularan virus Covid-19. 

It's okay guys, we're in this together and we'll surely get through this, together! 

 Saya yakin pasti ramai juga yang telah kehilangan pekerjaan, sumber pendapatan terjejas, perniagaan tidak dapat dijalankan dan sebagainya. Teruskan berusaha, doa dan tawakal. Percayalah, kejayaan itu bukan mudah untuk dicapai tanpa usaha dan semangat untuk berjaya. Pengalaman saya sendiri, saya juga telah diberhentikan kerja daripada bidang perhotelan semenjak bulan Julai yang lalu. Selama beberapa bulan itu jugalah cuba mencari jalan keluar. Memandangkan pada waktu ini, sektor perhotelan & pelancongan merupakan sektor yang menerima dampak terbesar ekoran penularan wabak Covid19, agak sedikit sukar buat saya mencari jalan keluar bagi mendapatkan pekerjaan dalam sektor tersebut. 

Berbekalkan sedikit pengalaman di petting zoo (Farm in The City Seri Kembangan) dan juga Pullman Hotel Kuala Lumpur City Centre, saya mencuba nasib dalam bidang khidmat pelanggan (Customer Service) pula. Rezeki tak salah alamat, saya telah diterima bekerja sebagai Pegawai Khidmat Pelangaan (Customer Service Executive) di Startek Sdn Bhd. Tak mengapa, sekurang-kurangnya dapat jugalah saya menimba pengalaman baru di sini. 

Setelah hampir 2 bulan memulakan kerjaya baru ni, saya mendapati kerjaya sebagai khidmat pelangan ni tidak dinafikan merupakan kerjaya yang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi di mana kita semua tahu bahawa kerjaya ini memerlukan kami untuk berurusan dengan pelanggan secara atas talian. Atas talian je guys, lebih mudahnya kerja ni memang duduk menghadap PC dan jawab call saja (Walaupun mula-mula saya agak skeptikal dengan kerja call centre ni)

Startek Sdn Bhd ni juga dikenali dengan nama Aegis BPO Sdn Bhd sebelum ni. Siapa yang biasa kerja call centre ni mesti biasa dengar la company ni. Saya pula berpangkalan (ayat macam sedap je kan) di Medini 7, Iskandar Puteri, Johor. One thing that I like the most is there is NO traffic issue here!! Buat masa ini la, mungkin kawasan ini masih sedang giat dibangunkan, jadi jalan-jalan pun belum sibiuk sangat. Pergi kerja, balik kerja jalan lengang je. Tak macam kerja di sesetengah kawasan kan, dah la kerja dah stress lepas tu nak menghadap jalan raya yang sesak lagi. Jadi, kalau korang mencari ketenangan minda dan jiwa boleh la cuba duduk kawasan ni. 

Dari segi kerja pula, setelah hampir 2 bulan membuat pemerhatian, berikut merupakan ringkasan dan kesimpulan yang saya boleh kongsikan buat anda yang tertanya-tanya bagaimana kerjaya sebagai pegawai khidmat pelanggan di call centre ni. 

Disclaimer: Ini berdasarkan pendapat & pandangan peribadi penulis sahaja. Tidak ada kaitan dengan mana-mana organisasi mahupun pihak tertentu

1. Focus & Active Listening: Fokus merupakan perkara paling penting, dalam apa-apa kerjaya sekalipun. Namun, sedikit berbeza bagi mereka yang bekerja di call centre ni. Perlu fokus dengan apa yang cuba disampaikan oleh pelanggan sama ada aduan atau feedback dan perlu peka dengan apa yang disampaikan oleh pelanggan melalui panggilan sebelum mencari solusi bagi sesebuah isu. 

2. Multi-tasking: Kemahiran multi-tasking ni saya akui akan mengambil sedikit masa untuk kita biasakan diri dengan sesebuah pekerjaan. Namun, skill ini amat penting bagi seorang pegawai khidmat pelanggan. Bayangkan, anda perlu menjawab lebih daripada 50 panggilan secara purata dalam 1 hari (9 Jam bekerja) dan anda perlu menyiapkan laporan bagi setiap satu panggilan tersebut dalam masa yang sama. Jadi, kena biasakan diri bercakap dengan pelanggan sambil menaip laporan secara langsung dan memberikan penyelesaian terhadap seseuatu isu secara langsung dalam masa yang sama.

To be honest, this is a bit challenging for me, until now I'm still working to improve myself from time-to-time

3. Tone & Choice of Words: Tona suara dan pemilihan kosa kata yang sesuai juga penting bagi mereka yang bekerja dalam bidang khidmat pelanggan ni. Saya yakin anda pernah menghubungi mana-mana pusat khidmat pelanggan kan? Kalau anda perasan, tona suara da ayat (template) yang digunakan oleh pegawai khidmat pelanggan ni hampir sama je. Suara kena jelas, tona suara mendatar dan pemilihan ayat yang tak terlalu formal, tapi mudah untuk difahami. Dari segi bahasa pula, bergantung kepada jenis servis yang diberikan, kebiasaannya hanya menggunakan bahasa Melayu & Inggeris sahaja bagi servis-servis am di Malaysia ni. Melainkan anda boleh berbahasa Mandarin, itu merupakan satu kelebihan kerana kebanyak syarikat juga sedang mencari Mandarin speaker bagi menguruskan perkhidmatan pelanggan bagi servis-servis tertentu.

4. Patience: Tidak dinafikan kesabaran merupakan antara aspek yang terpenting dalam kerjaya sebagai pegawai khidmat pelanggan. Bukan apa, kita bakal berurusan dengan manusia yang di mana kita tidak dapat mengawal emosi atau respon mereka terhadap sesebuah perkara atau isu. Maka, tugas anda sebagai pegawai khidmat pelanggan haruslah profesional dan sabar dalam memberikan penyelesaian. Sudah menjadi lumrah bagi kami kalau dapat panggilan-panggilan yang 'dispute' ni. 

5. Shift Rotation: Waktu bekerja juga merupakan salah satu isu yang saya perlu highlight di sini. Kerana apa? Kerana kebaanyakan servis khidmat pelanggan kebiasaannya beroperasi 24 jam sehari. Oleh itu, harus ada pegawai khidmat pelanggan yang sentiasa on-duty sepanjang tempoh tersebut. Oleh itu, anda juga harus biasakan diri dengan kerja yang ada pertukaran syif ni. Ada yang akan masuk kerja pagi pukul 7 dan balik jam 4 petang. Ada juga yang masuk jam 12 tengah hari dan balik jam 9. Waktu bekerja ni bergantung kepada jadual yang telah diplotkan. Jadi, kena juga biasakan diri untuk menerima perubahan waktu tidur, makan, bersenam dan sebagainya.

6. Exercise Regularly: Saya juga ingin menekankan bahawa senaman juga sangat penting bagi mereka yang bekerja menghadap PC je ni. Sekali-sekala kena lakukan regangan dan kena banyak minum air ya. Penat ya nak bercakap tanpa henti (sebab tu golongan wanita lebih sesuai buat kerja ni kot 😂.). Kalau anda rajin, keluarlah ke gym atau joging setelah habis waktu bekerja. Sekurang-kurangnya dapat juga lah release stress kan bila ada senaman, badan pun sihat dan aktif untuk menempuh hari-hari mendatang!

Remember: Health is wealth! 

7. Self-Motivation:  Baiklah, yang ni kalau korang buat kerja apa pun kena ada dalam diri la. Motivasi diri tu selalu positif, selalu fikir ke hadapan dan kena pandai kawal emosi. Tipu lah kalau kata tak rasa nak give up kan. Hari-hari ni kena marah dengan pelanggan, stress juga tu kadang sampai terbawa balik ke rumah. Sebab itu lah, ramai juga yang gagal bertahan lama dalam kerjaya ni. Anggaplah semua itu sebagai satu proses pembelajaran dan cuba tingkatkan kemahiran diri dari masa ke masa. Jadi, kena belajar juga cara untuk kawal emosi dengan bijak. IQ tinggi tu memang bagus dah, tapi kena pastikan anda cuba develop & improve your EQ dalam masa yang sama ok! Kalau rasa down tu, cubalah aktiviti-aktiviti spiritual mengikut kepercayaan masing-masing atau lakukan sebarang aktiviti yang anda suka. 

Dari segi latihan (training) kebiasaannnya akan disediakan oleh pihak syarikat mengikut projek yang bakal diberikan kepada bakal pekerja. Tempoh training ni pula mungkin bergantung pada jenis projek yang ditawarkan. Jadi, jangan risau kerana anda masih ounya waktu untuk belajar dan mencuba sesuatu yang naru. Jangan takut mencuba, minat boleh dipupuk. Percaya dan yakinlah pada kemampuan diri anda. 

Bagi anda yang berminat untuk tahu lebih lanjut berkenaan kerjaya sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan (Call Centre) ni termasuklah cara nak apply, atau soalan-soalan lain boleh la tinggalkan komen anda di ruangan komen di bawah atau DM Facebook saya (Emyr Ashraff). Sampai di sini dahulu buat entri pertama bagi tahun 2021 ni. Semoga anda semua terus kekal sihat dan aktif dalam norma baharu ini. Bersama kita hentikan penularan virus Covid-19! Stay Safe!

Labels: , , , , , ,

Wednesday, March 6, 2019

FARM IN THE CITY 城の农场: ALPACA

Antara tarikan utama di Farm in The City adalah Alpaca. Alpaca ni apa ya sebenarnya? Kebanyakan daripada anda pasti tidak pernah tahu akan kewujudan haiwan ini kan? Jadi, bagi berkongsi sedikit sebanyak pengtahuan mengenai haiwan ini, saya akan kongsi sedikit sebanyak mengenai haiwan ini untuk entri kali ini.

Alpaca atau nama saintifiknya, Vicugna pacos merupakan haiwan yang berasal daripada keluarga unta (Family: Camelids). Unta boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan termasuklah Unta padang pasir yang besar tu, Llama, Vicugna dan juga Alpaca. Alpaca ni berasal jauh daripada America Selatan.

Alpaca yang menjadi antara tarikan utama di Farm In The City



Berikut merupakan beberapa fakta mengenai Alpaca:
Image result for alpaca point

Nama Saintifik: Vicugna pacos

Asal: Amerika Selatan

Jangka hayat: 15-20 tahun

Diet: Rumput kering (hay), pellet dan juga sayur-sayuran




  • Alpaca merupakan spesies domestik yang berasal daripada Amerika Selatan. Sekali pandang macam Lllama je kan. 
  • Bulu Alpaca ni sangat lembut dan juga seringkali digunakan dalam penghasilan tekstil. Bulu mereka juga kalis air dan kalis api. Sangat menarik bukan? Oleh itu, seperti kambing biri-biri bulu mereka juga seringkali dicukur. Bulu Alpaca ni dikatakan mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding bulu biri-biri. 
  • Bunyi seakan-akan 'humming' akan dihasilkan oleh Alpaca sekiranya mereka berasa tidak selesa, risau, bosan atau stres.
  • Sekiranya mereka berasa terancam, Alpaca juga akan meludah dan menendang sebagai langkah untuk melindungi diri mereka. 
  • Alpaca merupakan haiwan ruminan yang bermaksud mereka mempunyai 3 bahagian perut iaitu rumen, retikulum dan omasum. 
  • Alpaca betina juga akan meludah sebagai tanda 'rejection' pada si jantan.
  • Negara dengan populasi Alpaca yang tertinggi di dunia ialah Peru (Amerika Selatan).

Manja dan mesra je Alpaca ni sebenarnya bila dah kenal orang

Jangan lepaskan peluang untuk beramah mesra dengan Alpaca di stesen Savanna, Farm in The City. Hanya di Farm in The City! Di sini anda boleh berinteraksi dengan Alpaca melalui sentuhan, feeding dan malah dapat bergambar bersama mereka bagi mengabadikan kenangan anda di sini.

Labels: , , , , , , , , ,

Sunday, January 6, 2019

MACAM MANA NAK 'MOVE ON' ?

Hi Guys. Tengok pada tajuk entri kali ini mesti dapat agaklah apa yang cuba disampaikan. Aku selalu dengar orang bertanya macam mana nak move on ni? Macam mana nak melupakan kisah patah hati tu? Mampu ke aku nak mulakan hidup baru dan bahagia macam dulu? Kenapa? Mengapa? Apa salah aku? Sebelum itu, aku tegaskan entri ini hanyalah satu perkongsian dan menurut pendapat, pandangan dan pengalaman aku sendiri. Untuk maklumat lanjut, anda boleh bertemu dengan kaunselor dan mereka yang lebih arif atau pakar mengenai perkara ini. 

1) Berhenti mempersoalkan dan belajar menerima
Baiklah, perkara pertama yang anda perlu lakukan ialah berhenti mempersoalkan dan belajar menerima apa yang berlaku terlebih dahulu. Aku tahu bukan mudah kerana aku yakin setiap daripada kita pernah melalui dan akan melalui fasa ini. Bila cakap mengenai move on ni kebanyakan orang mesti fikir macam kes putus cinta semata-mata. Sebenarnya bukan itu sahaja ya. Macam mana nak move on daripada satu perkara yang buat korang patah hati. Boleh jadi kena khianat dengan kawan sendiri, kena buang kerja dan sebagainya. Bagaimana anda nak move on? Jadi inilah yang anda perlu lakukan. Jangan bersedih untuk satu tempoh yang panjang. Belajar menerima dengan hati terbuka dan bersedia untuk memulakan hari yang baru tanpa memikirkan apa yang sudah berlaku. Jadikan apa yang sudah berlalu sebagai pengalaman dan pengajaran yang akan mematangkan diri kita pada masa akan datang. Ingat, Allah merupakan sebaik-baik perancang. Bersangka baiklah padaNya. 


Related image


2) Meluahkan dan berkongsi masalah anda
Seterusnya, yang kedua ialah kembali kepada Allah. Jangan putus berdoa dan meminta kepadaNya. Mengadulah padaNya. Setelah itu, anda boleh ceritakan atau kongsi masalah anda kepada orang yang paling anda percaya seperti keluarga terdekat atau pun rakan-rakan anda. Elakkan daripada anda memendam masalah anda kerana ini mungkin memberi kesan kepada kesihatan mental anda. Bagi golongan remaja, aku pasti rakan-rakan merupakan tempat mereka meluahkan perasaan. Pilihlah rakan-rakan yang boleh bersama anda disaat anda susah dan senang. Zaman sekarang ni aku tak nafikan yang kita perlu 'pilih' siapa kawan kita. Rambut kita sama hitam tapi hati lain-lain kan. 

3) Lakukan sesuatu yang anda suka 
Setiap orang pasti mempunyai hobi mereka yang tersendiri. Kalau aku, lebih suka menulis dan membaca dan melalui aktiviti ini sedikit sebanyak dapat membantu mengalihkan perhatian aku untuk seketika daripada terus memikirkan masalah yang berlaku.

4)Terapi (Melancong, Membeli-belah, Senaman, Muzik & Spa)
Terapi sangat membantu dalam aspek kesihatan fizikal dan mental. Persoalannya adalah terapi yang bagaimana dapat membantu anda? Pilihlah perkara yang anda gemar untuk lakukan. Sebagai contoh pergi melancong ke sebuah tempat yang mempunyai pemandangan yang indah, udara yang segar dan dengan ini sekaligus dapat menenangkan fikiran anda buat seketika. Ada juga yang memilih untuk pergi membeli-belah dan tidak kurang juga yang ke spa dan sebagainya. Terpulanglah kepada pilihan masing-masing. Anda lebih mengenali diri anda sendiri. Bagi aku pula, terapi yang menjadi pilihan aku adalah melalui senaman. Sekaligus dapat membantu mencergaskan minda dan menyihatkan tubuh badan. Terdapat juga beberapa kajian yang membuktikan bahawa melalui senaman dapat membantu mengurangkan hormon tekanan. 

5) Sibukkan diri anda dengan kerja
Ya, kerja  dapat membantu mengalihkan perhatian anda sebenarnya. Bagaimana? Beri komitmen sepenuhnya terhadap kerja yang dilakukan. Buat kajian terperinci dan sentiasa merancang untuk melihat jauh ke hadapan. Oleh itu, sangat penting untuk memilih kerja atau kerjaya yang anda minati supaya dapat mendorong diri anda untuk terus fokus dan berikan komitmen sepenuhnya dengan kerja yang dilakukan. 

6) Dapatkan bantuan pakar (Kaunselor / Psychologist)
Sekiranya anda masih tidak dapat 'move on' bak kata pepatah 'tidur tak lena, mandi tak basah' tu, semua perkara jadi serba tak kena adalah lebih baik untuk mendapatkan nasihat daripada pakar. Sila buat temujanji dengan kadar segera dan jangan bertangguh lagi. Kesihatan mental merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian.

Dan yang terakhir sekali, ingatlah bahawa masih ramai lagi orang-orang yang menyayangi anda di sekeliling anda. Fikirkan mengenai mereka, dan lupakanlah mereka yang hadir untuk seketika. Anggaplah ia sebagai satu fasa yang normal dalam kehidupan.

"People comes and go in life, but the right ones will always stay."


Labels: , , , , , , , , , ,

Saturday, January 5, 2019

FARM IN THE CITY 城の农场: ANNUAL PASS (SPECIAL PROMOTION)

Hari ini ada satu perkongsian yang menarik dan tawaran istimewa bagi pengunjung yang kami hormati. Buat pencinta haiwan, anda kini boleh dapatkan Pas Lawatan Tahunan (Annual Pass) untuk kemasukan tanpa had sepanjang tahun ke Farm in The City. Harga yang ditawarkan kini sangat berpatutan dimana hanya RM 199 (Dewasa) dan RM 149 (Kanak-kanak). Diskaun lebih RM 200 tu. Tunggu apa lagi guys. Come and grab our Annual Pass now! T&C apply!

Dapatkan maklumat lanjut di Facebook: Farm in The City Malaysia

Grab our early bird "Farmer's Friends" annual pass promotion to enjoy unlimited entry for 2 parks.
( KL TOWER MINI ZOO & Farm In The City 城の农场 )


Labels: , , , , , , , , , ,

Friday, January 4, 2019

FARM IN THE CITY SERI KEMBANGAN 城の农场: AN EDEN OF NATURE, ANIMALS & PLANTS (A PETTING ZOO)

Hello! It's been a while guys..
Seperti yang tertulis pada tajuk entri pada hari ini, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak pengalaman sepanjang hampir dua bulan memulakan kerjaya sebagai Tour & Event Coordinator di Farm in The City, Seri Kembangan. Farm in the City merupakan sebuah petting zoo yang berkonsepkan kampung (Village Themed Petting Zoo) di mana pengunjung berpeluang untuk memberi makan, menyentuh dan mengambil gambar bersama-sama haiwan di sini dan secara tidak langsung dapat meningkatkan interaksi antara pelawat dan juga haiwan di sini. Farm in The City telah memulakan operasi sejak Jun 2012. Terdapat lebih daripada 100 spesies haiwan boleh ditemui di sini termasuklah spesies tempatan dan juga spesies eksotik. Lebih menarik adalah kawasan ini juga telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record sebagai petting zoo yang mempunyai bilangan spesies yang paling banyak. Menarik kan guys? Jadi, buat anda yang belum pernah melawat ke sini, silalah berbuat demikian dan sudah pasti anda akan berpuas hati dengan servis daripada pihak kami.

Bukan biasa-biasa, bullfrog pun "mesra pelanggan" di sini ;)

Farm in The City merangkumi kawasan seluas 7 ekar dan terletak bersebelahan dengan Downtown Seri Kembangan. Buat anda yang berhasrat untuk melawat kawasan ini, boleh juga anda search melalui aplikasi Waze atau Google Maps

Rakan-rakan yang sempat melawat kami di sini. Terima kasih daun keladi, lain kali singgah la lagi.

Tarikan utama di sini adalah Alpaca yang merupakan haiwan domestik daripada keluarga Unta (Camelids). Kalau anda lihat di sini, Alpaca ni lebih kurang macam Llama je sebenarnya. Alpaca ni hanya ada di Farm in The City dan juga KL Tower Mini Zoo sahaja kalau di Malaysia ni. Jadi, tunggu apa lagi? Pakatlah ramai-ramai berkunjung ke sini dan lihat haiwan-haiwan ni dengan lebih dekat lagi. Selain Alpaca, di sini juga terdapat spesies kura-kura yang kedua, ketiga dan keempat terbesar di dunia. Antaranya Aldabra Tortoise, Sulcata Tortoise dan juga Leopard Tortoise. Ini baru sebahagian je, banyak lagi haiwan lain yang boleh ditemui di sini seperti Marmoset, Meerkat, Javan Deer, Ostrich, Parrot, Ular Sawa dan macam-macam lagi. Kalau anda ingin tahu lebih lanjut bolehlah ke laman Facebook: Farm in The City Malaysia dan jangan lupa untuk tekan like sekali ye. 

Tunggu, belum habis lagi, mesti ada yang tertanya-tanya kan agak-agak berapa harga tiket untuk masuk ke sini? Harga sangat berpatutan terutama buat pemegang MyKad. Hanya RM 37 untuk dewasa dan RM 30 untuk kanak-kanak. Yang lebih menarik adalah kanak-kanak di bawah ketinggian 90cm tidak dikenakan bayaran masuk. Farm in the City juga merupakan kawasan yang mesra OKU dimana laluan untuk kerusi roda juga disediakan di sini dan juga buat ibu bapa yang membawa stroller untuk anak kecil. Kalau nak tahu mengenai haiwan-haiwan di sini boleh la tengok pada entri-entri yang seterusnya. 


Labels: , , , , , , , , , ,

Wednesday, November 2, 2016

PROGRAM SARJANA SAINS PENYELIDIKAN (BIOLOGI PEMULIHARAAN) UTHM



Dalam tak sedar rupanya dah dua bulan berlalu sejak aku mula mendaftarkan diri di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ni untuk program Sarjana Sains Penyelidikan (Biologi Pemuliharaan) di bawah Fakulti Sains Teknologi dan Pembangunan Insan (FSTPI). Sebenanrnya tak sangka juga UTHM ni rupanya ada menawarkan kursus biologi pemuliharaan ni. Maklumlah, sebelum ni memang tak ada, sebab tu lah kita merantau ke bumi Sabah untuk buat degree dulu. Sekarang kembali ke Johor untuk pengajian Sarjana dan kebetulan kurusus ni ada ditawarkan di UTHM. Untuk degree (Biologi Pemuliharaan) pun dah ada sekarang. Kepada anda yang berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ni boleh lah berbuat demikian di UTHM. Selain UTHM, universiti awam yang ada menawarkan kursus Biologi Pemuliharaan atau kursus-kursus berkaitan dengan Biodiversiti adalah Universiti Malaysia Sabah di bawah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), UMT dan UNIMAS. Mungkin pada masa akan datang akan ada lebih banyak Universiti Awam yang akan menawarkan kursus berkaitan biodiversiti kerana kepentingan biodiversiti terhadap ekosistem negara kita dilihat semakin  mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.  



Penyelidikan yang aku buat pula berkaitan dengan serangga atau dikenali sebagai bidang entomology.
Lebih spesifiknya aku akan buat kajian mengenai taburan spesies pepatung dan jejarum (Odonata) di sekitar kawasan pemuliharaan di negeri Johor. Jika ada kesempatan, aku akan share pengalaman aku sepanjang menjalankan kajian ini nanti. Dalam entri yang berikutnya, aku akan kongsikan beberapa gambar dan fakta mengenai pepatung dan jejarum yang diletakkan di bawah satu Order yang dikenali sebagai Odonata. :)

Labels: , , , , , ,