Thursday, January 21, 2021

SERAM MALAM JUMAAT: DIGANGGU SEWAKTU TIDUR DI HOSTEL

Salam Malam Jumaat guys! Baiklah seperti yang tertera pada tajuk entri di atas, edisi khas seram malam jumaat ni, aku nak share sebuah pengalaman yang berlaku pada diri aku baru-baru ni. Peristiwa misteri dan menakutkan ini berlaku di sebuah hostel yang disediakan oleh pihak syarikat (Company apa tu aku tak nak reveal la kat sini dan lokasi kejadian di salah sebuah rumah di kawasan Gelang Patah ni). Lebih tepatnya di mana tu korang pandai-pandai tekalah ya. 

Aku ni baru diterima bekerja di salah sebuah syarikat di kawasan Iskandar Puteri ni dan disebabkan aku tak sempat nak cari bilik sewa, maka aku pun gunakanlah hostel yang disediakan oleh pihak syarikat (Bukan free okey!). Aku boleh gambarkan kat korang yang hostel ni terdiri daripada beberapa buah blok apartment 3 tingkat. Dalam satu rumah ada 4 buah bilik, lepas tu ada la dapur dan barang-barang basic seperti peti sejuk, dapur gas dan lain-lain. 

Awal-awal tu semuanya terlihat normal, tak ada apa-apa yang menyeramkan pun. Hostel semua dalam keadaan baik, cuma aku perasan kawasan blok yang aku diami tu macam banyak unit yang tidak berpenghuni. Kalau time malam tu memang sunyi, dengan pemandangan belukar hutan yang dapat dilihat dari jendela di ruang tamu rumah menjadikan suasana lebih tenang dan angin bertiup lembut sambil menghirup secawan kopi o panas, memang syahdu! Aku memang sukakan keadaan yang macam ni. rasa tenang je dengan kehijauan hutan dan kadang kala boleh terdengar bunyi serangga memecah kesunyian malam. 

Malam pertama semuanya normal, aku tak pernah terfikir pun apa-apa yang seram tentang hostel ni. Perkara menakutkan ini berlaku pada malam kedua kalau tak silap aku. Masa tu aku dah terlelap awal, dalam jam 11 macam tu aku dah tidur dah. Kawan sebilik aku pada waktu tu, Haziq (Bukan nama sebenar) masih terjaga dan aku pun tak tahu jam berapa baru dia tidur. Aku terjaga pada waktu sekitar 2-3 pagi apabila aku terdengar bunyi seperti ada orang yang berdengus. Aku ingatkan si Haziq ni berdengkur atau mengigau so aku pun mula-mula tu buat-buat tak layan dan sambung tidur. Tak lama lepas tu aku dengar lagi bunyi yang sama. Masa tu aku memang mengantuk sangat-sangat dan perlahan-lahan aku buka mata yang masih lagi kelat. Dalam kesamaran, aku melihat seperti ada susuk tubuh seorang wanita berpakaian serba putih sedang mencangkung di sisi Haziq yang sedang lena tidur. 

Wajahnya tidak dapat aku gambarkan sepenuhnya kerana rambutnya yang panjang dan kusut menutupi hampir keseluruhan mukanya. Dengan baju seakan gaun labuh yang mempunyai tompok-tompok seakan kesan tanah sedang menunduk sambil mencangkung di sebelah Haziq yang sedar tidur lena. Tubuh aku seakan hilang daya untuk bergerak! Aku mengigil! Satu badan rasa sejuk! Perasaan takut yang sukar untuk aku gambarkan ketika itu. Aku dapat rasakan adrenalin dalam badan aku melonjak naik pada tika dan saat itu. 

Aku cuba sedaya upaya untuk tidak melihat wajah makhluk berkenaan. Tak pasal-pasal aku boleh pengsan pula nanti. Dengan segala kudrat yang berbaki aku cuba berpaling tubuh ke arah lain supaya aku tidak lagi melihat wanita misteri yang menakutkan itu. Bahagian yang paling menakutkan akhirnya berlaku....

Aku cuba untuk memejamkan mata sambil berpura-pura seperti aku tidak melihat kehadiran wanita tersebut. Namun, badan aku menggigil ketakutan dan sukar untuk aku kawal rasa takut pada waktu itu. Aku berkata pada diri aku sendiri, walau apa pun nak jadi pada malam tersebut, aku tak akan buka mata aku. Setelah berpaling ke arah lain dengan mata yang terpejam, aku dapat merasakan bahawa kini wanita tersebut berada betul-betul di sisi aku. Bunyi dengusan nafas yang aku dengar sebentar tadi kini kian hampir dengan diri aku. Aku dapat rasakan yang wanita berkenaan sedang menanti aku untuk membuka mata dan menunjukkan bahawa aku telah melihat dia. Aku hanya mampu membaca surah-surah apa yang aku ingat dalam hati. Walaupun peristiwa ini berlaku hanya untuk beberapa minit, tapi ini merupakan tempoh yang paling panjang dan menakutkan dalam hidup aku setakat ni. Akhirnya, aku tertidur sehinggalah aku terjaga pada waktu pagi dan terus teringat apa yang berlaku pada malam tersebut. 

Aku cuba untuk tidak bercerita tentang perkara menakutkan tersebut kepada Haziq mahupun kawan-kawan yang lain sewaktu kami sudah berada di pejabat. Tiba-tiba aku terdengar salah seorang daripada rakan sekerja aku, Fifi bercerita berkenaan blok yang kami diami dikatakan berhantu. Zass!! berputar kembali kronologi peristiwa yang berlaku pada malam tersebut. Perbualan Fifi dengan seorang lagi teman sekerja menarik perhatian aku untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kesahihan cerita tersebut. Menurut Fifi, kakak iparnya pernah tinggal di blok berkenaan yang dikatakan sememangnya berhantu dan kebanyakan pekerja yang dah tahu 'kisah' di sebalik blok berkenaan akan meminta untuk ditukarkan ke blok lain. 

Setelah mendengar penjelasan tersebut, aku bagaikan ditampar oleh realiti kerana sebelum aku mengetahui tentang sejarah blok tersebut, aku sendiri telah 'diganggu' dengan kehadiran atau penampakan wanita berjubah putih yang hadir dalam keadaan mencangkung pada malam tersebut. 

Sehingga ke hari ini, aku masih menetap di blok yang dimaksudkan. Dan ketika kisah ini dimuatnaik di laman blog ini, aku masih berada di unit blok yang sama. Aku bersyukur kerana cuma sekali itu sahajalah aku diganggu setakat ini. Aku anggap apa yang aku lalui ini sebagai tanda 'salam perkenalan' daripada makhluk yang mungkin sudah menetap lama di sini. Aku bukanlah jenis orang yang mudah melihat benda-benda mistik atau makhluk ghaib. Jadi, bila terlihat 'benda' ni ternyata sukar untuk mengawal perasaan takut tersebut. Mungkin ada betulnya orang tua-tua kata kalau nak masuk rumah baru ni ada baiknya buat kenduri doa selamat dan amalan memagar rumah yang masih diamalkan oleh sesetengah pihak sehingga ke hari ini.

Percayalah, kerana 'mereka' ada di mana-mana dan anda mungkin sedang menemani dan memerhati pada saat anda membaca posting ini...



Labels: , , , , , , ,