Sunday, January 6, 2019

MACAM MANA NAK 'MOVE ON' ?

Hi Guys. Tengok pada tajuk entri kali ini mesti dapat agaklah apa yang cuba disampaikan. Aku selalu dengar orang bertanya macam mana nak move on ni? Macam mana nak melupakan kisah patah hati tu? Mampu ke aku nak mulakan hidup baru dan bahagia macam dulu? Kenapa? Mengapa? Apa salah aku? Sebelum itu, aku tegaskan entri ini hanyalah satu perkongsian dan menurut pendapat, pandangan dan pengalaman aku sendiri. Untuk maklumat lanjut, anda boleh bertemu dengan kaunselor dan mereka yang lebih arif atau pakar mengenai perkara ini. 

1) Berhenti mempersoalkan dan belajar menerima
Baiklah, perkara pertama yang anda perlu lakukan ialah berhenti mempersoalkan dan belajar menerima apa yang berlaku terlebih dahulu. Aku tahu bukan mudah kerana aku yakin setiap daripada kita pernah melalui dan akan melalui fasa ini. Bila cakap mengenai move on ni kebanyakan orang mesti fikir macam kes putus cinta semata-mata. Sebenarnya bukan itu sahaja ya. Macam mana nak move on daripada satu perkara yang buat korang patah hati. Boleh jadi kena khianat dengan kawan sendiri, kena buang kerja dan sebagainya. Bagaimana anda nak move on? Jadi inilah yang anda perlu lakukan. Jangan bersedih untuk satu tempoh yang panjang. Belajar menerima dengan hati terbuka dan bersedia untuk memulakan hari yang baru tanpa memikirkan apa yang sudah berlaku. Jadikan apa yang sudah berlalu sebagai pengalaman dan pengajaran yang akan mematangkan diri kita pada masa akan datang. Ingat, Allah merupakan sebaik-baik perancang. Bersangka baiklah padaNya. 


Related image


2) Meluahkan dan berkongsi masalah anda
Seterusnya, yang kedua ialah kembali kepada Allah. Jangan putus berdoa dan meminta kepadaNya. Mengadulah padaNya. Setelah itu, anda boleh ceritakan atau kongsi masalah anda kepada orang yang paling anda percaya seperti keluarga terdekat atau pun rakan-rakan anda. Elakkan daripada anda memendam masalah anda kerana ini mungkin memberi kesan kepada kesihatan mental anda. Bagi golongan remaja, aku pasti rakan-rakan merupakan tempat mereka meluahkan perasaan. Pilihlah rakan-rakan yang boleh bersama anda disaat anda susah dan senang. Zaman sekarang ni aku tak nafikan yang kita perlu 'pilih' siapa kawan kita. Rambut kita sama hitam tapi hati lain-lain kan. 

3) Lakukan sesuatu yang anda suka 
Setiap orang pasti mempunyai hobi mereka yang tersendiri. Kalau aku, lebih suka menulis dan membaca dan melalui aktiviti ini sedikit sebanyak dapat membantu mengalihkan perhatian aku untuk seketika daripada terus memikirkan masalah yang berlaku.

4)Terapi (Melancong, Membeli-belah, Senaman, Muzik & Spa)
Terapi sangat membantu dalam aspek kesihatan fizikal dan mental. Persoalannya adalah terapi yang bagaimana dapat membantu anda? Pilihlah perkara yang anda gemar untuk lakukan. Sebagai contoh pergi melancong ke sebuah tempat yang mempunyai pemandangan yang indah, udara yang segar dan dengan ini sekaligus dapat menenangkan fikiran anda buat seketika. Ada juga yang memilih untuk pergi membeli-belah dan tidak kurang juga yang ke spa dan sebagainya. Terpulanglah kepada pilihan masing-masing. Anda lebih mengenali diri anda sendiri. Bagi aku pula, terapi yang menjadi pilihan aku adalah melalui senaman. Sekaligus dapat membantu mencergaskan minda dan menyihatkan tubuh badan. Terdapat juga beberapa kajian yang membuktikan bahawa melalui senaman dapat membantu mengurangkan hormon tekanan. 

5) Sibukkan diri anda dengan kerja
Ya, kerja  dapat membantu mengalihkan perhatian anda sebenarnya. Bagaimana? Beri komitmen sepenuhnya terhadap kerja yang dilakukan. Buat kajian terperinci dan sentiasa merancang untuk melihat jauh ke hadapan. Oleh itu, sangat penting untuk memilih kerja atau kerjaya yang anda minati supaya dapat mendorong diri anda untuk terus fokus dan berikan komitmen sepenuhnya dengan kerja yang dilakukan. 

6) Dapatkan bantuan pakar (Kaunselor / Psychologist)
Sekiranya anda masih tidak dapat 'move on' bak kata pepatah 'tidur tak lena, mandi tak basah' tu, semua perkara jadi serba tak kena adalah lebih baik untuk mendapatkan nasihat daripada pakar. Sila buat temujanji dengan kadar segera dan jangan bertangguh lagi. Kesihatan mental merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian.

Dan yang terakhir sekali, ingatlah bahawa masih ramai lagi orang-orang yang menyayangi anda di sekeliling anda. Fikirkan mengenai mereka, dan lupakanlah mereka yang hadir untuk seketika. Anggaplah ia sebagai satu fasa yang normal dalam kehidupan.

"People comes and go in life, but the right ones will always stay."


Labels: , , , , , , , , , ,

Wednesday, November 2, 2016

PROGRAM SARJANA SAINS PENYELIDIKAN (BIOLOGI PEMULIHARAAN) UTHM



Dalam tak sedar rupanya dah dua bulan berlalu sejak aku mula mendaftarkan diri di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ni untuk program Sarjana Sains Penyelidikan (Biologi Pemuliharaan) di bawah Fakulti Sains Teknologi dan Pembangunan Insan (FSTPI). Sebenanrnya tak sangka juga UTHM ni rupanya ada menawarkan kursus biologi pemuliharaan ni. Maklumlah, sebelum ni memang tak ada, sebab tu lah kita merantau ke bumi Sabah untuk buat degree dulu. Sekarang kembali ke Johor untuk pengajian Sarjana dan kebetulan kurusus ni ada ditawarkan di UTHM. Untuk degree (Biologi Pemuliharaan) pun dah ada sekarang. Kepada anda yang berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ni boleh lah berbuat demikian di UTHM. Selain UTHM, universiti awam yang ada menawarkan kursus Biologi Pemuliharaan atau kursus-kursus berkaitan dengan Biodiversiti adalah Universiti Malaysia Sabah di bawah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), UMT dan UNIMAS. Mungkin pada masa akan datang akan ada lebih banyak Universiti Awam yang akan menawarkan kursus berkaitan biodiversiti kerana kepentingan biodiversiti terhadap ekosistem negara kita dilihat semakin  mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.  



Penyelidikan yang aku buat pula berkaitan dengan serangga atau dikenali sebagai bidang entomology.
Lebih spesifiknya aku akan buat kajian mengenai taburan spesies pepatung dan jejarum (Odonata) di sekitar kawasan pemuliharaan di negeri Johor. Jika ada kesempatan, aku akan share pengalaman aku sepanjang menjalankan kajian ini nanti. Dalam entri yang berikutnya, aku akan kongsikan beberapa gambar dan fakta mengenai pepatung dan jejarum yang diletakkan di bawah satu Order yang dikenali sebagai Odonata. :)

Labels: , , , , , ,